seni dan budaya

 Hari ini , aku terdetik untuk bercerita tentang seni dan budaya kelantan. Kelantan bukan hanya dikenali kerana budu, nasi kerabu atau dialeknya yang unik. Lebih daripada itu, negeri ini menyimpan khazanah seni dan budaya yang begitu kaya sejak ratusan tahun lagi. Seni dan budaya Kelantan bukan sekadar hiburan tetapi cerminan identiti, nilai dan sejarah masyarakatnya. 

Antara seni dan budaya Kelantan adalah dikir barat. Dikir barat ialah salah satu ikon persembahan di kelantan. Ia biasanya dimainkan secara berkumpulan dengan iringan alatan tradisional seperti rebana dan akan dipimpin oleh tukang karut dan tok joro. Liriknya pula sering mengandungi unsur nasihat, sindiran sosial dan lawak spontan yang mencuit hati. Dikir barat bukan sekadar nyanyian semata-mata tetapi ia adalah pentas suara rakyat. Aku selalu teringatkan akan kenanganku ketika kecil yang suka mengikuti ayahku ke pertandingan dikir barat. 

Selain dari dikir barat, Kelantan juga ada seni dan budaya layar bayangan yang bercerita iaitu wayang kulit. Wayang kulit kelantan merupakan seni penceritaan tradisional yang menggunakan bayang-bayang boneka yang digerakkan di balik layar putih. Tok Dalang memainkan peranan utama dengan suara, naratif dan iringan muzik gamelan tradisional. Wayang kulit ini tetap menjadi simbol warisan melayu kelantan yang halus dan penuh makna. 

Budaya kelantan bukan hanya pada seni persembahan tetapi juga cara hidup masyarakatnya seperti adat bersopan santun terhadap orang tua dan tetamu dan amalan gotong-royong dalam kenduri dan majlis. Semua ini mencerminkan nilai murni yang masih kuat diamalkan di Kelantan sehingga hari ini. 

Seni dan budaya Kelantan bukan hanya untuk disimpan dalam muzium atau diperagakan dalam pameran. Ia adalah jiwa masyarakat, lambang jati diri dan penghubung antara generasi. Dalam dunia yang moden ini, seni tradisioanl Kelantan mengingatkan kita tentang keindahan asal usul, tentang suara nenek moyang dan ukiran pada kain batik. 

Jangan sesekali biarkan warisan ini dilupakan. Mari kenali, hargai dan wariskan seni dan budaya ini kepada dunia dan generasi akan datang. 

Comments

Popular posts from this blog

isu semasa

pengalaman memasuki kelas bbk3410