Anak muda: Harapan atau Cabaran Masa Depan ?
Dunia hari ini bergerak pantas. Teknologi semakin berkembang, informasi membanjir dan cabaran kehidupan semakin kompleks. Di tengah-tengah arus itu, berdirilah anak muda. Generasi yang bukan sekadar mewarisi dunia tetapi juga membentuknya semula. Persoalannya, apakah anak muda hari ini sekadar penonton atau sebenarnya pemain utama dalam pentas masa depan.
Anak muda adalah kumpulan yang paling bersemangat, bertenaga dan penuh cita-cita. Merekalah yang berani mencuba, mencabar status quo dan menolak sistem yang sudah lapuk. Daripada perubahan sosial hingga inovasi teknologi, anak muda selalu berada di barisan hadapan. Tetapi dalam semangat itu, hadir juga persoalan di mana adakah mereka benar-benar bersedia.
Anak muda zaman sekarang menghadapi pelbagai cabaran. Kenaikan kos hidup, isu pengangguran dan tekanan media sosial menjadikan ramai anak muda tertekan dan hilang arah. Dalam dunia tanpa sempadan, ramai yang keliru antara budaya asal dan pengaruh luar. Ada yang kehilangan jati diri dalam mengejar pengiktirafan. Anak muda juga menghadapi kritikan dari masyarakat setempat. "anak muda manja", "tak tahan cabaran","tak hormat orang tua". Stereotaip seperti ini masih menghantui golongan muda walaupun ramai yang sudah membuktikan sebaliknya.
Di sebalik semua cabaran ini, anak muda tetap mempunyai sinar harapan. Mereka lebih celik teknologi, lebih terbuka dan lebih berani menyuarakan pendapat. Mereka belajar membina perniagaan dari rumah, mereka menyuarakan isu kemanusiaan di media sosial dan mereka jugalah yang memulakan gerakan komuniti yang memberi impak sebenar. Anak muda pada hari ini tidak tunggu untuk diberi peluang tetapi merekalah yang mencipta peluang sendiri.
Anak muda bukan beban. Mereka adalah kekuatan. Mereka bukan masalah tetapi mereka adalah penyelesaian. Tapi seperti api, tenaga anak muda boleh membina dan boleh juga membakar. Apa yang mereka perlukan ialah arah, sokongan dan ruang untuk menyinar.
Kepada semua anak muda, jangan tunggu masa depan datang kepada kamu. Kamulah yang perlu bangkit, melakar dan mencorakkanya mulai hari ini.
Comments
Post a Comment