makanan tradisional

 Bila disebut tentang makanan tradisional, aku terbayangkan dapur lama, kuali besi dan aroma yang membangkitkan rindu. Dalam setiap suapan makanan tradisional, ada lebih daripada sekadar rasa. Ada sejarah, kasih sayang dan warisan yang tak ternilai. Makanan tradisional bukan hanya sesuatu yang mengenyangkan tetapi ia adalah identiti. Ia memperkenalkan kita sebelum kita sempat berkata apa-apa.

Aku lahir di Selangor namun menetap di Kelantan. Kedua-dua ibu bapaku lahir dan menetap di Kelantan. Jadi boleh dikatakan yang aku ini juga merupakan anak jati negeri Kelantan. Negeri Kelantan terkenal dengan pelbagai makanan yang lazat-lazat belaka. Justeru tidak hairanlah apabila kalau pergi ke negeri ini, orang pesan jangan diet sebab rugi jika tidak menikmati makanan tradisional kelantan. 

Antara makanan tradisional Kelantan yang juga merupakan makanan kegemaranku ialah ketupat sotong. Ketupat sotong yang menggunakan sotong bersaiz sederhana besar untuk menghasilkan hidangan ini. Selain sotong, ia juga menggunakan beras pulut yang akan diisi ke dalam sotong tersebut. Kemudiannya dimasak menggunakan gula melaka sebagai manisan. Air manisan ini turut ditambah dengan beberapa bahan lain untuk memberikan rasa yang mengagumkan. Apabila aku pulang ke rumah apabila tiba cuti semester, aku akan meminta ibuku untuk memasak juadah ini. 

Selain dari ketupat sotong, nasi manis juga merupakan makanan tradisional yang aku suka dan gemar. Nasi manis atau lebih dikenali sebagai wajik ini salah satu makanan tradisional di Kelantan. Nasi manis ini merupakan sejenis pulut yang rasanya agak manis dan kebiasannya nasi manis ini dimakan begitu sahaja tanpa lauk. Nasi manis ini selalunya akan dibuat sebagai pencuci mulut atau manisan di majlis-majlis perkahwinan atau pertunangan.

Nasi manis ini juga mudah untuk didapati di Kelantan terutamanya di kebanyakan warung yang menjual kuih muih pada waktu pagi. Nasi manis itu juga digelar sebagai pulut pagi oleh orang-orang tua di kampung. Selalunya aku tidak akan melepaskan peluang untuk mendapatkan nasi manis ini. Selepas sahaja aku selesai menghantar adikku ke sekolah, aku akan berkunjung ke kedai atau warung yang  berdekatan untuk mendapatkan kuih ini. 

Antara makanan tradisional yang lain seperti kuih jala emas, sira labu, nasi tumpang dan banyak lagi. Tidak lupa juga dengan nasi kerabu. Nasi yang dimakan dengan pelbagai ulam-ulaman. Dimakan pula dengan budu ikan bilis. Terasa nikmat yang tidak terkata lagi. 

Makanan tradisional bukan hanya untuk dimakan pada hari perayaan. Ia wajar dirai dan dikekalkan setiap hari seperti di dapur rumah, di restoran kecil atau warung dan di hati kita. Aku percaya selama masih ada orang yang sudi belajar menggulung ketupat dan menguli tepung kuih, warisan ini takkan hilang. kerana selagi ada rasa, selagi itulah sejarah hidup dalam setiap pinggan. 

Kita perlulah teruskan setiap rasa ini. Masak, makan dan wariskan. Biar generasi akan datang masih tahu tentang siapa mereka dari apa yang mereka rasa. 

Comments

Popular posts from this blog

isu semasa

seni dan budaya

pengalaman memasuki kelas bbk3410