pengalaman kembara
Waktu pertama kali melangkah ke kampus universiti, hati ini penuh dengan pelbagai rasa. Teruja, takut, bingung dan sedikit kehilangan. Tempat baru, wajah-wajah asing dan jadual hidup yang berubah sekelip mata. Tetapi dalam kekalutan itu, aku tahu satu perkara iaitu aku sedang memulakan sebuah kembara. Kembara sebenar untuk mencari tujuan kehidupan.
Bukan kembara ke luar negara. Bukan juga kembara mendaki gunung atau menjelajah kota. Tapi ini adalah kembara kehidupan dan universiti menjadi tempat pertamaku. Dulu segalanya ditentukan untuk kita. Jadual waktu, peraturan dan hala tuju. Ibu bapa kita yang menetapkan segalanya dari hujung rambut hingga hujung kaki. Tapi di universiti ini, semuanya di tangan sendiri. Nak belajar atau malas. Nak ke kelas atau tidak. Pilihan itu milik kita sepenuhnya. Dan di sinilah kembara itu bermula. Kembara mempelajari untuk bertanggungjawab atas pilihan sendiri.
Aku mula kenal erti berdikari. Bangun pagi tanpa suara lantang seorang ibu, bangun pagi dengan deringan jam sahaja. Terkadang lewat bangun subuh kerana tidur lambat dek kerana menyiapkan tugasan yang diberi oleh pensyarah. Terkadang terasa malas untuk ke kuliah tetapi perlu memaksa diri supaya diri ini tidak merasa kerugian apabila hadir ke kuliah.
Dalam kembara ini, aku bertemu dengan pelbagai watak. Rakan sebilik yang menjadi teman menangis. Rakan sekelas yang selalu mengajar tatkala aku bingung dan tidak memahami isi pembelajaran. Pensyarah yang menegur bukan untuk menjatuhkan tetapi untuk membina dan mengajar. Senior yang memberi nasihat dan tips belajar dalam diam. Setiap daripada mereka mengajar sesuatu. Ada pelajaran yang tidak datang dari buku tetapi ia datang daripada pertemuan dan perpisahan.
Tidak semua dalam kembara ini indah. Ada hari aku gagal memahami isi-isi kuliah. Ada hari aku rasa tak cukup hebat. Ada hari aku rasa aku kerdil berbanding dengan yang lain. Pernah juga rasa nak putus asa. Pernah juga rasa ingin kemas semua baju dan pulang ke rumah. Namun inilah cabaran menghadapi cabaran kembara ini.
Kembara di universiti ini bukan hanya tentang mendapat segulung ijazah. Ia adalah tentang bagaimana aku berubah. Dari seseorang yang takut bercakap di hadapan kelas, kini berani mengutarakan pendapat. Dari yang tidak tahu erti letih kini tahu erti usaha dan pengorbanan.
Doakan aku supaya dapat mengakhiri kemabra ini dengan jayanya.
Comments
Post a Comment